HIJRAH

Assalamualaikum. Apa khabar para pembaca yang dikasihi? Apa khabar iman hari ini? Ada naik atau tengah turun? Ataupun mendatar? xD

*Semoga Allah memberi kesihatan & mempermudahkan segala urusan korang. di dunia & di akhirat. Semoga sentiasa tersenyum & berlapang dada. Alhamdulillah, semoga Allah memberkati majlis ilmu kita pada malam ini. Basmalah. Tajuk kita pada malam ini ialah “hijrah”.

Berubah (Bahasa Melayu), change (Bahasa Inggeris), taghyir (Bahasa Arab). Tiga perkataan yang berbeza tapi membawa maksud yang sama. Dalam konteks dunia hari ini, ia lebih popular dengan istilah HIJRAH. Apa pula maksud hijrah? Nahh, ulama’ telah memecahkan maksud hijrah kepada tiga pengertian.

Perkataan hijrah berasal dari bahasa Arab yang membawa erti “meninggalkan sesuatu perbuatan” atau “menjauhkan diri dari pergaulan” atau “berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain”. Menurut syariat, hijrah ini mempunyai tiga maksud:

1.       Hijrah dari meninggalkan semua perbuatan yang terlarang oleh Allah. Hijrah ini adalah wajib bagi seluruh umat islam berdasarkan Hadis Nabi S.A.W :

“Orang orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala apa yang telah Allah larang daripadanya” – [Riwayat Bukhari dari Abdullah bin Umar R.A]

2.       Hijrah mengasingkan diri dari pergaulan orang orang musyrik atau orang orang kafir yang memfitnahkan orang orang islam atau mempersendakan agama islam.

“Dan sungguh, Allah telah menurunkan kpada kamu di dalam Al-Qur’an bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari & diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik & orang- orang kafir di dalam Jahanam” – [An Nisa’: 140]

3.       Hijrah (berpindah) dari negeri atau daerah orang-orang kafir atau musyrik ke negeri atau daerah orang-orang muslim sekiranya mereka tidak berkuasa atau mampu untuk mengerjakan amal ibadah atau terpaksa melakukan perkara yang terlarang oleh Allah. Ini berdasarkan peristiwa hijrah sahabat-sahabat ke Habsyah & hijrah besar dari Mekah ke Madinah

Bagaimanapun, pada zaman ini, hijrah yang paling besar ialah hijrah meninggalkan laranganNya kepada melaksanakan perintahNya. Dan hijrah inilah yang ingin saya ketengahkan pada usrah kali ini. Ramai orang yang berhijrah selepas bermuhasabah diri terhadap dosa-dosa lalu tetapi ramai juga yang berpatah balik setelah berhijrah.

Antara alasan yang popular, “aku tidak layak untuk jadi baik”, “aku tidak mampu & tidak kuat untuk berubah” & lain-lain. Allah, lemah sungguh pendirian mereka. Tidak kurang juga, ada yang berhijrah tetapi disindir & diperli orang di sekelilingnya lalu berpatah balik. Ruginya! Hanya disebabkan beberapa patah perkataan, kita sudah jatuh tersungkur. Saya bukannya hendak merendahkan sesiapa, tetapi itulah realitinya.

Puncanya adalah hijrah itu bukan hijrah kerana Allah tetapi hijrah kerana manusia iaitu hijrah kerana menginginkan pujian dan perhatian. Sabda Nabi SAW :

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat & bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah & RasulNya, maka hijrahnya diredhai olehNya. Manakala, barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya kea rah perkara yang ditujuinya itu” – [Riwayat Bukhari & Muslim]

Hijrahnya adalah hijrah tanpa bekalan ilmu. Lalu, Allah uji dengan sedikit ujian, terus goyah & jatuh kecundang. Tidak salah berhijrah tetapi isilah diri dengan pengisian yang berguna supaya dalamannya kental & luarannya hebat. Jika tiada pengisian, hati menjadi kosong & senang dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. Akibatnya, hati & diri dijangkiti penyakit FUTUR atau PUTUS ASA.

Rata-rata orang yang berhijrah hanya berhijrah amali (perbuatan) sahaja tetapi pemikiran & ilmunya masih di takuk yang lama. Sebagai contoh, Nur berhijrah & terus mengenakan tudung labuh & jubah labuh tetapi kekurangan ilmu tentang syariat. Dia berpakaian hanya mengikut orang lain. Apabila disindir & dipandang serong, hatinya menjadi resah & tidak tahan atas semua itu lalu terus meninggalkan tudung & jubah labuhnya. Inilah puncanya. Tiada ilmu sebagai perisai iman & perisai diri.

“Bajet soleh/solehah pula kau”
“Sejak bila kau jadi imam muda/ustazah pilihan ini?”
“Macamlah kau itu baik sangat”

Itu hanyalah sebahagian daripada sindiran-sindiran yang bakal dihadapi oleh orang yang berhijrah. Oleh itu, persiapkanlah diri dengan ilmu & pengisian supaya tidak termakan dek kata-kata sindiran. Sungguh jalan yang dipilih ini bukanlah jalan untuk bersenang-lenang. Sesiapa yang memilih jalan ini, bersiap sedialah untuk menghadapi mehnah & tribulasi yang tidak mampu dijangka & dibayangkan.



Kadangkala, tribulasi itu datang dari keluarga sendiri, kawan-kawan dan orang di sekeliling kita. Contohnya, keluarga tidak menerima penghijrahan pada diri, sahabat menghina & menyindir & masyarakat memandang serong. Pelbagai ujian yang Allah aturkan. Jika kita kuat menghadapinya, pasti kita akan terus istiqamah. Jika lemah, pasti future. Amat rugilah bagi yang telah menemui jalan yang betul tetapi berpatah balik dek kerana ujian daripada Allah. Bukankah kalau Allah sayang kepada hambaNya, allah akan uji hamba yang disayangi itu? لا تخف ولا تحزن، إن الله معنا.

Yang paling penting, pastikan hubungan dengan Allah tidak terputus kerana untuk berubah & berhijrah, ia memerluka kekuatan. Jadi, pastikan hubungan itu kuat & mintalah kepada Yang Maha Kuat. Jaga ‘talian’ yang menghubungkan kita dengan Dia iaitu solat. Merintihlah di malam hari & mintalah di dalam tahajjud. Pasti Dia perkenankan :’)

Teruskan usaha untuk berubah & berhijrah. Teruskan berjalan wahai hati-hati yang disapa hidayahNya. Jangan pernah menyesal kerana memilih jalan hijrah ini. Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya yang benar. Bermujahadalah walauapun sukar. Sungguh! Mujahadah itu pahit kerana syurga itu tersangatlah manis. Kadangkala langkah kita akan tersungkur. Sakit atau tidak, itu belakang cerita. Bangkit balik & berjalanlah semula. Nak takut apa? Allah kan ada. Jangan risau, Allah sentiasa bersamamu ^^

KakYongLegend.
03072015.
2239hrs.

Tiada ulasan:

Domo-kun Cute